Sunday, 13 April 2014

Tompok hitam di belakang mata







Deria penglihatan antara anugerah yang tidak ternilai dan tanpanya, hidup akan menjadi gelap gelita. Kehilangan penglihatan bukan saja satu perkara yang sangat menggerunkan, bahkan ia menuntut perubahan besar gaya hidup.
Apabila perkataan ­diabetes diungkapkan, ramai lebih cenderung me­ngaitkan penyakit itu ­dengan gangren yang boleh mengakibatkan kaki pesakit dipotong sekiranya paras gula tidak dikawal.
Namun ramai tidak me­nyedari sebenarnya diabetes juga boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dan jantung, juga hilang penglihatan buat selama-lamanya.

Hampir 15,000 hingga 39,000 pesakit berusia antara 25 hingga 74 tahun kehilangan penglihatan akibat diabetes setiap tahun di seluruh dunia akibat kerosakan jangka panjang pada retina mereka.
Apa yang menyedihkan, keadaan itu sebenarnya boleh dihalang kerana diabetes adalah penyakit yang boleh dielak, dirawat dan dikawal menerusi diet yang betul, senaman dan pemantauan secara konsisten.

Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan yang dijalankan pada 2011 mendedahkan 20.8 peratus rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun dan ke atas menghidap diabetes manakala 15.2 peratus mula menghidap diabetes pada usia 18 tahun dan ke atas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjang­kakan Malaysia bakal mencatatkan seramai 2.48 juta penghidap diabetes menjelang 2030.

Bagaimanapun, kajian yang dijalankan di negara ini mendapati Malaysia sudah memiliki lebih ramai pesakit diabetes iaitu kira-kira 3.6 juta dan ini bukanlah satu pencapaian yang boleh dibanggakan!

Ia diakui satu angka yang sungguh menakut­kan terutama kepada kerajaan sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penarikan semula subsidi gula sebanyak 34 sen bermula 26 Oktober 2013 ketika pembentangan belanjawan 2014, dalam usaha mendidik rakyat untuk mengurang­kan gula dalam diet mereka.

Diabetes boleh meng­akibatkan berlakunya ­komplikasi pada salur darah retina di mata dikenali sebagai retinopati diabetik.
Ia terjadi apabila salur darah halus yang menyalurkan oksigen ke bahagian tisu sensitif cahaya di belakang mata iaitu retina mengalami kerosakan akibat kandungan gula dalam darah yang ting­gi dalam tempoh panjang sehingga mengubah struktur salur darah ­hingga tersumbat atau bocor.

Pakar Oftalmologi dan Perubatan Retina Pusat Perubatan Sunway, Dr Tara Mary George berkata, majoriti pesakit yang menghidap diabetes selama 10 tahun atau lebih akan mengalami retinopati walaupun tidak me­ngalami sebarang simptom.
Katanya, ia juga bergantung kepada pengurusan diabetes sama ada terkawal ataupun tidak. Sekiranya tidak dijaga dengan baik, ia pasti akan mengubah struktur salur darah di bahagian mata.

“Bagi kes diabetes yang teruk dan tidak dikawal langsung, kerosakan pada mata boleh berlaku dalam tempoh yang cukup sing­kat iaitu dua tahun. Bagi diabetes terkawal, kesihatan mata akan dapat diteruskan seperti biasa.

“Sasaran pakar perubatan adalah mengekalkan kesihatan mata dan penglihatan yang terbaik atau sekurang-kurangnya mengelak ia daripada terus merosot. Kerosakan itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana ia berlaku di bahagian belakang mata,” katanya pada sesi makan malam dalam gelap bersama media di restoran Dining in The Dark, anjuran Pusat Perubatan Sunway, baru-baru ini dalam usaha memupuk kesedaran penjagaan mata.

Pada awalnya, retinopati tidak menunjukkan sebarang simptom namun apabila ia sudah sampai kemuncaknya, seseorang boleh menjadi buta. Ini kerana salur darah yang pecah menutup retina sehing­ga ia tidak dapat melihat.

Pada peringkat genting, penglihatan akan dipenuhi dengan tompok hitam, pandangan kabur atau imej menjadi herot. Pengesanan awal mampu menyelamatkan penglihatan namun sekiranya dibiarkan, seseorang akan menjadi buta.

Dr Tara berkata, seseorang yang mengalami diabetes perlu segera bertemu pakar untuk menjalani pemeriksaan mata ­supaya sebarang perubahan struktur dalam mata dapat dikesan awal, seterusnya menyelamatkan penglihatan mereka.

“Lebih lama seseorang mengalami diabetes, lebih tinggi risikonya untuk mendapat retinopati. Oleh itu, mereka yang sudah me­ngalami diabetes selama 10 tahun atau lebih, perlu segera membuat pemeriksaan mata.

“Mereka juga perlu tahu diabetes memberi kesan kepada seluruh organ dan sekiranya buah pinggang mereka mengalami komplikasi akibat diabetes, maka mata mereka pun akan terjejas. Ini disebabkan oksigen tidak dapat sampai ke mata,” katanya.

Menurutnya, biarpun sudah berada pada tahap kritikal, ada rawatan yang boleh diberikan seperti laser dan suntikan bagi memberikan penglihatan terkawal kepada penghidapnya.

No comments:

Post a Comment